Peter John: Hormati Program Penduduk Pribumi

Iklan Semua Halaman

Betang Raya Post - Suluh Perjuangan Rakyat Kalimantan

Peter John: Hormati Program Penduduk Pribumi

KUCHING, BRP- Protes aman ke atas dasar-dasar tanah negeri ketika ini akan diadakan melibatkan persatuan serta wakil daripada semua parti politik, spektrum sosial dan seluruh negeri.

Jurucakap perhimpunan aman tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) itu Peter John Jaban (gambar), berkata penganjur menjangkakan ramai akan menyertainya sama ada di Tebingan Kuching berhampiran Mahkamah Lama dan perkarangan Kompleks Mahkamah Negeri di Petra Jaya di sini.

Beliau berkata, penganjur iaitu Persatuan Dayak Iban Sarawak (SADIA) dan persatuan penduduk pribumi lain meminta rakyat Sarawak yang berasa ketidakadilan dalam dasar-dasar semasa dan bimbang berlakunya pergolakan sosial, datang beramai-ramai menyertai perhimpunan berkenaan yang akan bermula jam 9 pagi.

Beliau memberitahu pada 2 petang, perhimpunan akan berakhir dan satu memorandum akan diserahkan kepada DUN (Dewan Undangan Negeri) oleh 12 pemimpin, yang pernah kehilangan tanah diwarisi daripada nenak moyang mereka.

“Terdapat banyak pihak yang berkepentingan berkempen mengenai isu sama. Kita menjangkakan kehadiran ramai orang. Kami menjangka ramai akan menyertai perhimpunan ini.

“Anda akan melihat logo serta sepanduk daripada pelbagai organisasi memperlihatkan pelbagai kumpulan yang turut merasai masalah ini ... Apa yang kita mahu ialah semua orang memastikan mereka yang hadir menyokong isu diperjuangan iaitu isu 'tanah,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar hari ini.

Tambahnya, penganjur akan berdepan masa sukar untuk menghentikan mana-mana pihak yang cuba mempromosikan agenda sendiri atau organisasi diwakili.

“Bagaimanapun, kita berharap mereka yang hadir akan terus memfokus kepada perkara penting daripada politik kecil atau kepentingan peribadi.

“Ini adalah hari penting tentang masa depan Sarawak secara keseluruhan, tanah adalah sumber berharga. Ini adalah isu yang sepatutnya berada di tengah-tengah semua rakyat Sarawak,” ujarnya.

Katanya lagi: “Saya sendiri bekerja dengan Jabatan Tanah dan Survei selama 20 tahun dan bertugas di pelbagai bahagian dalam jabatan itu, mengakhiri perkhidmatan saya di bahagian Kartografi di Ibu Pejabat.

“Inilah yang memberi inspirasi kepada saya untuk meninggalkan zon selesa dan menjadi aktivis. Saya telah melihat secara langsung bagaimana prosedur dan dasar telah beralih selama tiga puluh tahun terakhir daripada menyokong pemilik tanah individu dan komuniti ke arah mempromosikan keperluan minoriti yang sangat kecil di Negeri."

Namun ketika ini, katanya keadaan bertambah buruk, kerana kumpulan dari Semenanjung Malaysia seperti FELDA dan Tabung Haji kini 'bertapak' di Sarawak menerusi tanah milik penduduk pribumi.

“Ini menggambarkan dasar pengurusan tanah ketika ini, mempromosikan syarikat-syarikat berskala besar dalam memperkasakan pekebun kecil dan koperasi masyarakat serta prosedur Tanah dan Ukur, telah banyak berubah.

“Jika Kerajaan Negeri benar-benar mahu mempromosikan rakyat biasa, mereka perlu mengubah dasar ini secara radikal dan penjawat awam akan mengikutinya,” katanya.

Ujarnya lagi, jika kerajaan negeri benar-benar mahu melihat penduduk miskin di Sarawak diberikan semula aset terakhir mereka (tanah), memberi pendapatan lebih baik, sudah tiba masanya kerajaan 'menghidupkan semula' Bahagian V Kanun Tanah Negeri.

Beliau berkata Bahagian V, Kanun Tanah negeri telah dibekukan pada tahun 2000 di bawah keputusan dalaman Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

“Kanun Tanah Negeri telah dipinda beberapa kali semenjak beberapa dekad lalu. Bagaimanapun, ia masih amat mengelirukan dalam kedudukan undang-undang terutamanya Pemakai Menua dan Pulau Galau (PMPG).

“Mana-mana orang asli di negeri ini memahami kedua idea ini sebagai antara bahagian-bahagian yang paling penting dalam Adat. Tetapi, walaupun Adat adalah undang-undang di Sarawak di bawah Ordinan Mahkamah Anak Negeri 1992, kita kini mempunyai penghakiman Mahkamah Persekutuan yang menyatakan bahawa PMPG tidak mempunyai kuasa dalam undang-undang,” ujarnya.

Justeru katanya rakyat Sarawak mesti terus bersatu, yang disatukan oleh rasa cinta ke atas tanah dan tanah airku.

“Kita disatukan oleh sejarah dan budaya juga mempertahankan tanah negeri yang dicintai ini. Kita juga disatukan oleh ekonimi dan keperluan.

“Benarkan penduduk luar bandar membina masa depan yang sebenar untuk diri sendiri dengan cara mereka sendiri. Jangan terima Sarawak yang menyerahkan mereka kepada kehidupan sebagai 'kenang-kenangan di Pulau' ... Orang-orang Sarawak tidak seperti orang yang ingin mendapat keuntungan atas kesengsaraan orang lain. Marilah kita memilih untuk berkongsi: sumber kita, kemahiran kita dan masa kita,” katanya.

Oleh: Redaksi Betang Raya Post Firmus
Sumber: Utusan Borneo